Search This Blog

Followers



Post Terakhir


Salam.

Blog ini bermula pada tarikh 5 Ogos 2008. Menghimpunkan sebanyak 230 post dalam tempoh hampir 4 tahun ini. Mencatatkan purata hampir 1000 pengunjung dalam tempoh sebulan.

Banyak perkara yang dikongsikan di sini. Ada yang bermanfaat, ada juga yang tidak. Dari himpunan kisah sahabat dan qasidah, membawa kepada kisah-kisah peribadi.

Dan hari ini 5 Jun 2012, Ismu Eh akan berhenti ber'operasi'.

Yang baik dari Allah, dan yang buruk dari kelemahan diri sendiri. Walau hakikatnya kedua-dua datang dengan kehendak dan izin-Nya.

Apapun, masih boleh berkunjung ke sini anaktemenggung jika ada kelapangan.
Terima kasih buat semua yang sudi berkunjung dan membaca coretan kita di sini. Moga beroleh keberkatan.

Seeru 'ala barakatillah. 

Wallahu ta'ala a'lam.




Kisah Saidina Ibnu Umar dan si pengembala kambing




Pada suatu hari keluarlah Abdullah bin Dinar bersama-sama Ibnu Umar ke kota Makkah. Menetap akan keduanya di sana buat beberapa ketika.

Adapun jiran mereka merupakan seorang pengembala kambing. Lalu bertanya akan Ibnu Umar kepada ar-raie tersebut, “Adakah engkau pengembala?”

“Ya,” balas si pengembala tersebut ringkas.

Berkata lagi Ibnu Umar, “Jualkan padaku seekor kambing dari ternakan kamu wahai si pengembala.”

Tiadalah berani akan dia menjual sesuatu yang bukan haknya. Dengan tegas ar-raie tersebut menjawab, “Sesungguhnya aku hanya seorang mamluk, diupah oleh sohibul ghanam untuk menjaga binatang ternakannya.”

“Katakan sahaja pada tuan kamu bahawasanya ternakan milik beliau telah dimakan oleh serigala.” Ujar Ibnu Umar mengajarkan sebuah helah.

Si pengembala kemudiannya membalas, “Maka di mana Allah ‘azzawajalla?”
Pertanyaan yang bukan mengharapkan kepada jawapan melainkan sebuah peringatan buat Ibnu Umar.

Mendengarkan kata-kata tersebut, menangis merintihlah Ibnu Umar kemudiannya dalam keadaan terlalu sedih dan dukacita.

“Fa ainallah, fa ainallah!” rintihnya sambil mengulang-ngulang pertanyaan ar-raie tadi. Bermulalah kedukaan dan penyesalan Ibnu Umar. Sedunya panjang sekali.

Tidak lama kemudian Saidina Ibnu Umar radhiallahu ‘anhu membeli pengembala tadi dari tuannya, dibebaskan dan kemudiannya diberikan binatang ternak untuk ar-raie tersebut kembali mengembala.

Sesungguhnya si pengembala tersebut sentiasa merasakan diri diperhatikan al-Khaliq, maka tiada langsung ruang dan kesempatan untuknya melakukan kemaksiatan pada Allah.

Teladani si pengembala. Justeru rasa diperhati menjadikan kita lebih waspada dan hazar dalam setiap tindakan.

Maha suci Allah yang mengetahui walau sehelai daun yang gugur dari pohonnya.
Wallahu ta’ala a’lam.


Glosari

  • الراعي- pengembala
  • صاحب الغنم- pemilik ternakan


p/s- Kita merujuk kitab "مع أولياء الله الصالحين" oleh Syeikh Nuruddin Marbawi al-Banjari al-Makki.


Jika tuhan perkenankan



[Hadis Riwayat Muslim]


اللهم لامانع لما اعطيت
Ya Allah, tidak ada yang dapat menghalang
apa yang Engkau berikan


ولا معطي لما منعت
dan tidak ada yang dapat memberi
apa yang telah engkau halang..



Selepas ikhtiar,
letakkan segala pada-Nya.

Kerana 'aqal manusia terlalu lemah untuk
menilai hikmah.

Allah..
huwa bas!






Senandung Al-Fatihah




Bismillah.

Ini fasa yang baru dan
kita sedang berjalan di atasnya.

Fasa di mana kita biasa mendengar khabar-khabar gembira.
Sahabat-sahabat terdekat yang membina bait muslimnya,
tidak kurang juga yang mendapat cahaya mata.

Namun dalam fasa ini juga kita semakin kerap mendengar
berita pemergian sanak-saudara yang rapat.

Dalam tempoh kurang lebih 4 bulan ini kita terima
3 kiriman mesej dari ibu terutamanya,
yang memaklumkan tentang pemergian ahli keluarga.

Tuk sebelah ibu dan ayah.
Juga ibu saudara yang pernah mengasuh kita.

Cik Dah, ibu saudara yang rasanya paling dekat dengan kita.
Setahun berada dalam asuhan dan didikannya.
Beliau tidak pernah jemu menasihati
dan berkirim cerita dengan kita.

"Assalamualaikum,
Cik Dah ada di Masjidil Haram ni.."

"Doakan Cik Dah dan Cik Hj dipermudahkan kerja ibadah haji,
sihat dan selamat."

Antara mesej-mesej terakhir yang dikirimnya dari Masjidil Haram
saat menunaikan ibadah haji, yang kemudiannya kita balas dengan
kiriman doa. Masih tersimpan di dalam inbox hingga ke hari ini.

Sungguh, Allah lebih menyayanginya dan menempatkannya
dekat di sisi baginda Nabi Sollallahu 'alaihi wasallam.

Hanya senandung al-Fatihah dan doa yang mampu kita
kirimkan buat kekasih-kekasih hati.

Terima kasih buat rakan-rakan yang membimbing bacaan tahlil semalam.
Salam takziah juga buat mereka yang kehilangan.

Tiadalah kematian melainkan sebuah peringatan buat yang hidup.


- Al-Fatihah -


Masa berbaki



Hadiah dari abang 'Saiful Islam Mesir'. Tekalah sendiri siapa hehe..


Bila dihitung-hitung, waktu berbaki di bumi Mesir ini
tinggal kurang lebih 2 tahun.
Malah kurang dari itu jika ditolak cuti.

Makanya, perancangan perlu dibuat sehabis baik.
Banyak lagi yang belum tercapai. Ilmu dan sebagainya dalam
tempoh masa yang tinggal sedikit ini.

Mujurlah seorang senior tahun 6 bermurah hati hadiahkan planner ni.
Katanya kita banyak membantu masa jadi ajk kecil Bikon dahulu.

Ya, dulu. Sekitar tahun 2007-2008.
Terima kasih daun keladi kita ucapkan :)

Jadi tahun ini kita gantung planner percuma ini pada papan
di depan meja studi. Biar mudah dilihat dan disemak.
Jangan biarkan walau satu kotak pun kosong tak terisi.

Ha, cuak pula.

Antara mahu dan mampu, berbalik pada kita untuk menilai.
Biarlah masa berbaki ini menjadi yang terbaik.
Tak mahu nangis-nangis regret bila dah balik Malaysia nanti :(


p/s- Mari belajar fiqh keutamaan. Juga pengkhususan, kerana ini zamannya.








Tiada musibah paling besar melainkan..



Kadang-kadang Allah bagi kita ujian.
Rasa sedih sangat bila musibah tu besar.
Nafas jadi sempit, pandangan mata jadi kelabu.

Berat.

Berat sangat, rasa tak mampu nak pikul sendiri..


Suka kita babadkan di sini akan sebuah kisah di antara Saidatina Fatimah binti Rasulullah dengan ayahandanya tercinta, Saidina Khatimul anbiya' Muhammad bin Abdullah.

Suatu hari datang Saidatina Fatimah dengan berjalan dan cara jalannya mirip seperti jalannya Nabi sollallhu 'alaihi wasallam. Kemudian baginda nabi bersabda, "Selamat datang wahai puteriku."

Baginda nabi mempersilakan Saidatina Fatimah duduk di samping kanan atau kiri beliau, lalu membicarakan suatu perbicaraan secara rahsia.

Saidatina Fatimah menangis mendengarkannya.

Kemudian baginda kembali membicarakan suatu perbicaraan secara rahsia dengan Saidatina Fatimah. Anehnya, kali ini Az-Zahra tertawa. Ummul mu'minin Saidatina 'Aisyah yang melihat kejadian tersebut menjadi hairan. "Aku belum pernah melihat keadaan seseorang menangis lalu diiringi tertawa seperti hari ini."

Seraya bertanya tentang apa yang telah dikatakan oleh baginda nabi. Maka Saidatina Fatimah membalas, "Aku tidak akan mahu menceritakan pembicaraan rahsia Rasulullah saw hingga Nabi sollallahu 'alaihi wasallam wafat."

Selepas kewafatan baginda nabi, Saidatina 'Aisyah bertanyakan kembali kepada Saidatina Fatimah akan soalan yang sama. Maka Az-Zahra kemudiannya menjawab,

"Beliau bercerita kepadaku bahawasanya Jibril 'alaihissalam datang membacakan Al-Quran satu kali dalam satu tahun. Lalu dia (Jibril) membacakan kepadaku dua kali untuk tahun ini dan aku tidak melihatnya melainkan sebagai isyarat bahawa ajalku sudah tiba dan sesungguhnya kamu (Fatimah) adalah orang yang pertama yang akan menyusuliku di antara ahli baitku.

Maka aku menangis kerananya.

Lalu beliau bersabda lagi, 'Apakah kamu redha akan menjadi penghulu para wanita syurga atau penghulu para wanita mu'minin?'

Maka aku menjadi tertawa kerananya."

Tiadalah yang diucapkan Sayidul Mursalin melainkan kebenaran. Adapun enam bulan selepas kewafatan baginda nabi di bumi bercahaya Madinah al-Munawarah, Saidatina Fatimah menyusul mengikuti ayahanda yang dikasihi.

Sesungguhnya mengetahui perkara ghaib itu satu daripada tanda-tanda kenabian, dan menjadi indah cantik akan dunia dengan kehadiran Al-Mustofa. Pemergian ini merupakan musibah dan ditangisi semua kerana kecintaan yang amat mendalam buat baginda rasul.

Musibah yang pastinya tiada tertanggung oleh dunia dan seisinya.

Wallahu ta'ala a'lam.


Ulama sufi bilang, bila diuji maknanya kita dalam nazrah pandangan Allah.
Moga-moga kita lepas ujian itu dengan baik
dan Allah naikkan darjat kita di sisi-Nya.

Tiada musibah yang lebih besar bagi seorang muslim
melainkan kewafatan Nabi Muhammad

Maka bila dapat ujian, ingatlah Rasulullah :)


Jajan



Ada orang pesan,
kalau singgah di wad kanak-kanak
jangan lupa beli jajan!


"Ismuh eih, ya hadritik?"

Macam biasa kita tanya nama adik yang sakit itu dahulu. Diikuti soalan-soalan peribadi yang lainnya.

"Ismuh 'Umar."

Balas si nenek sambil mendukung cucunya. Senyuman dan keramahan wanita separuh abad ini melegakan. Ini petanda baik.

"Eih illi gabak fil mustasyfa?"

Tanya lagi.

"'Anduh ittihab fil buq.."

Terang si nenek sambil mengisyaratkan jarinya kepada bibir anak kecil berumur setahun lapan bulan ini. Ada inflamasi katanya.

'Umar yang duduk di pangkuan si nenek kemudian merengek-rengek. Merayu minta dibukakan cikedis yang diberikan tadinya. Habis ditarik-tarik baju dan jilbab. Mujurlah si nenek pandai memujuk.

Sopan dan diam si 'Umar bila diberikan dompet berisi wang. Khusyuk sekali bermain, sambil menghulurkan 2 keping syiling 50 qirsh pada kita. Kira-kiranya ingin membayar harga molto yang telah diambil.

Aik, budak ni sakit apa sebenarnya. Pelik sebab ingat dah sembuh, tiada apa yang tidak kena dengan bibir yang merah ini. Normal.

" 'Anduh sou'ubah lamma yabla'?"

Si nenek mengiyakan. Dia bilang 'Umar akan menangis bila mengambil makanan. Pedih barangkali. Kotak ubatnya pula tertulis anti-inflammatory spray.

Oh, salah faham. Memahami 'buq' hanyalah bibir tanpa memeriksa rongga mulutnya.

Teruk betul.

TAPI.. kenapa pula aku bagi dia cikedis tadi. Slumber je. Bukan dia boleh makan pun.
Jahatnya dok aniaya budak.. -.-"

Kalau bawa, tak semestinya kena bagi.
Jadi pesanan di atas adalah dengan pindaan hehe..



p/s- peperiksaan pusingan akhir paediatrics minggu hadapan, mohon doanya. Peace!



Kisah Saidina Mu'awiyah dan Abu Muslim al-Khawlani


Masjid Sultan Hasan


Tersebutlah sebuah kisah akan Saidina Mu'awiyah radhiallahu 'anhu pada suatu hari beliau naik ke atas mimbar lalu berkhutbah kepada rakyatnya. Disebut oleh beliau tentang penahanan habuan kepada rakyat jelata. Jika cuba-cuba dibandingkan dengan zaman kita ini, bolehlah diumpamakan seperti menahan bantuan kewangan atau subsidi daripada kerajaan untuk sesuatu perkara.

Bilamana terdengar ucapan Saidina Mu'awiyah tadi, bangkitlah seorang laki-laki bernama Abu Muslim al-Khawlani dari duduknya seraya berkata:

يا معاوية إنه ليس من كدك ، ولا من كد أبيك ، ولا من كد أمك

"Wahai Saidina Mu'awiyah, sesungguhnya ia (harta negara) bukan dari hasil jerih payah kamu, bukan juga dari jerih payah ayahmu, bukan juga dari jerih payah ibumu."

Maka Saidina Mu'awiyah menjadi marah, lalu turun dari minbar tempat beliau berucap.
"Tetaplah di tempat duduk kalian," kata beliau sebelum hilang dari pandangan mata rakyat seluruhnya.

Satu jam kemudian, pulanglah Saidina Mu'awiyah ke tempat tadi dan kelihatan tompok-tompok air melembapi pakaiannya. Beliau kemudian berkata, "Sesungguhnya Abu Muslim berkata-kata padaku dengan kata-kata yang membuatkan aku marah, dan sesungguhnya aku pernah mendengar baginda nabi bersabda:

الغضب من الشيطان ، والشيطان خلق من نار ، وإنما تطفأ النار بالماء
فإذا غضب أحدكم فليغتسل


Sesungguhnya tadi aku masuk kemudian mandi, dan benarlah Abu Muslim, sesungguhnya ia (harta) bukanlah dari jerih payahku, bukan juga dari jerih payah bapaku."

ٍKata Syeikh Nuruddin, teguran Abu Muslim ini akhirnya diterima Saidina Mu'awiyah kerana beliau berkata kerana Allah. Dan sesungguhnya Saidina Mu'awiyah dikasihi rakyat kerana sifat prihatin yang dimiliki, semoga Allah meredhainya.

Wallahu ta'ala a'lam.



Rujuk- " ص 77 ) "الأمر بالمعروف والنهي عن المنكر )


Sekufu




"Loyang tak sama dengan emas.
Benang tak sebangsa dengan sutera.."

Pesan si ibu kepada si anak. Bimbang sungguh bila melihat
harapan si anak terlalu tinggi menggunung. Kalau gagal dan terjatuh
sakitnya nanti bukan kepalang.



"Ustazah, sekufu itu pada ilmu. Laisa bil mal, sah?" saja aku bertanya tidak bersetuju.

Kerana hal sekufu ini juga pernah disebutkan Syeikh Nuruddin saat kita bertandang ke rumah Kedah dahulu. Al-fadhil menekankan, sekufu itu pada ilmunya.

"Tidak! Sekufu itu pada semua perkara. Fi kulli syai'. Termasuk bangsa, ijtima'i, pekerjaan.. (banyak tak ingat dah)." balas Ustazah Jihad separuh menjerit, menyangka kita belum memahami celoteh panjangnya tadi.

Masih tidak berpuas hati pada asalnya. Namun selepas disyarahkan, kita membuat satu kesimpulan.

Kufu bermaksud sama.

Umumnya sekufu pada segala macam perkara perlu bagi mewujudkan suasana yang harmoni, saling memahami dan mengurangkan ikhtilaf. Justeru mengatasi penceraian. Maka kata-kata orang yang makan garam dulu seperti Ustazah Jihad kita tak ambil mudah.

Namun satu perkara yang perlu diingat.

"Adapun kufu itu bukan sahaja dilihat pada harta benda, malah ia dilihat pada agama, iffah, keturunan, ketaqwaan, dan akhlak."

Untunglahlah jika dapat pasangan yang sama dari segala hal. Tetapi jika tidak mampu, maka utamakan yang lebih utama. Mudah.


Loyang atau benang, sekufu bukan saja-saja diwasiatkan.
Wallahu a'lam :)

p/s-baru balik program UBM


Kecik




Banyak benda
yang kita rasa masa kecik mudah
sebenarnya susah.

Kehidupan mula memperlihatkan belangnya
bila mendekati usia dewasa.

Jadi jangan mimpikan yang indah-indah sahaja.

Moga hari ini lebih baik dari yang semalam.
Wallahu ta'ala a'lam.


Hatta Saidatina Fatimah Binti Rasulullah


Malam Jumaat yang lepas, kita isi masa terluang dengan duduk menadah ilmu mendengar hadis yang dibacakan oleh al-Fadhil Syeikh Yusri.

Pintu gerbang yang tertutup kita tolak perlahan-lahan. Mujur tidak berkunci. Kelihatan satu halaqah di bahagian depan masjid.

Takut-takut dibatalkan pula, melihatkan kepada mood rakyat Mesir yang bersungguh hendak berhimpun pada keesokan harinya.

Sampailah pada sebuah hadis dalam kitab ahadis al-anbiya, tentang seorang wanita dari golongan bangsawan yang telah mencuri, lalu diminta akan mereka pelepasan dari hukum hudud. Dibacakan fadhilatus syeikh akan hadis tersebut sebagaimana berbunyi;

أن قريشا أهمهم شأن المرأة المخزومية التي سرقت . فقالوا : من يكلم فيها رسول الله صلى الله عليه وسلم ؟
فقالوا : ومن يجترئ عليه إلا أسامة ، حب رسول الله صلى الله عليه وسلم ؟ فكلمه أسامة . فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم أتشفع في حد من حدود الله ؟ ثم قام فاختطب فقال أيها الناس ! إنما أهلك الذين قبلكم ، أنهم كانوا إذا سرق فيهم الشريف ، تركوه . وإذا سرق فيهم الضعيف ، أقاموا عليه الحد . وايم الله , لو أن فاطمة بنت محمد سرقت لقطعت يدها



Hadis riwayat Saidatina Aisyah r.a:

Sesungguhnya kaum Quraisy merasa bingung dengan masalah seorang wanita dari kabilah Makhzumiah yang telah mencuri. Mereka berkata: "Siapakah yang akan memberitahu masalah ini kepada Rasulullah s.a.w?"

Dengan serentak mereka menjawab:

"Kami rasa hanya Usamah sahaja yang berani memberitahunya, kerana dia adalah kekasih Rasulullah s.a.w. Maka Usamah pun pergilah untuk memberitahu kepada Rasulullah s.a.w, lalu Rasulullah s.a.w bersabda: "Jadi maksud kamu semua ialah untuk memohon syafaat terhadap salah satu dari hukum Allah?"

Kemudian Baginda berdiri dan berkhutbah:

"Wahai manusia! Sesungguhnya yang menyebabkan binasanya umat-umat sebelum daripada kamu ialah, apabila mereka mendapati ada orang mulia yang mencuri, mereka membiarkannya sahaja. Tetapi apabila mereka dapati orang lemah di antara mereka yang mencuri, mereka akan menjatuhkan hukuman ke atasnya. Demi Allah, sekiranya Saidatina Fatimah binti Muhammad yang mencuri, nescaya aku akan memotong tangannya."




Sebak.

Entah mengapa tatkala sampai kepada ayat "Demi Allah, sekiranya Saidatina Fatimah binti Muhammad yang mencuri, nescaya aku akan memotong tangannya" hati menjadi sayu. Sungguh, Saidatina Fatimah tidak akan pernah mencuri.

Tiada bezanya manusia bila berdepan dengan ketetapan Allah. Baik yang mulia atau hina, kaya ataupun miskin, berkedudukan mahupun tidak. Semuanya sama.

Dan kalau saja ingin dibandingkan kemuliaan antara 2 wanita tersebut (Saidatina Fatimah dan wanita bangsawan dari kabilah Makhzumiah), tentunya tidak terkalahkan Saidatina Fatimah, kerana beliau merupakan keturunan baginda nabi sollallahu 'alaihi wasallam.

Hatta Saidatina Fatimah binti Rasulullah sabda baginda.



Siapalah kita untuk berasa mulia dan mengatakan tidak?

Wallahu ta'ala a'lam.


Qasidah: Al-Hadad Qad Kafani






Al Imam Abdullah al-Hadad lahir di Hadramaut, Yaman pada tanggal 5 bulan safar tahun 1044 Hijrah.

Ulama sufi yang masyhur ini merupakan seorang daie yang gigih dalam menyebarkan ilmu dan kalam kebenaran, menjadikan kota Hadramaut tumpuan para tolibil 'ilm yang dahagakan ilmu.

Nah, dengarkan qasidah Hadad ini. Maksudnya mendalam. Membuatkan kita tersentuh dan larut dalam senandung rintihan al-imam.

Syukran kepada yang sudi mengajarkan. Moga Allah yang membalasnya.





Lirik 1


Lirik 2


p/s- Salam 'aidil adha buat semua..