Hatta Saidatina Fatimah Binti Rasulullah


Malam Jumaat yang lepas, kita isi masa terluang dengan duduk menadah ilmu mendengar hadis yang dibacakan oleh al-Fadhil Syeikh Yusri.

Pintu gerbang yang tertutup kita tolak perlahan-lahan. Mujur tidak berkunci. Kelihatan satu halaqah di bahagian depan masjid.

Takut-takut dibatalkan pula, melihatkan kepada mood rakyat Mesir yang bersungguh hendak berhimpun pada keesokan harinya.

Sampailah pada sebuah hadis dalam kitab ahadis al-anbiya, tentang seorang wanita dari golongan bangsawan yang telah mencuri, lalu diminta akan mereka pelepasan dari hukum hudud. Dibacakan fadhilatus syeikh akan hadis tersebut sebagaimana berbunyi;

أن قريشا أهمهم شأن المرأة المخزومية التي سرقت . فقالوا : من يكلم فيها رسول الله صلى الله عليه وسلم ؟
فقالوا : ومن يجترئ عليه إلا أسامة ، حب رسول الله صلى الله عليه وسلم ؟ فكلمه أسامة . فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم أتشفع في حد من حدود الله ؟ ثم قام فاختطب فقال أيها الناس ! إنما أهلك الذين قبلكم ، أنهم كانوا إذا سرق فيهم الشريف ، تركوه . وإذا سرق فيهم الضعيف ، أقاموا عليه الحد . وايم الله , لو أن فاطمة بنت محمد سرقت لقطعت يدها



Hadis riwayat Saidatina Aisyah r.a:

Sesungguhnya kaum Quraisy merasa bingung dengan masalah seorang wanita dari kabilah Makhzumiah yang telah mencuri. Mereka berkata: "Siapakah yang akan memberitahu masalah ini kepada Rasulullah s.a.w?"

Dengan serentak mereka menjawab:

"Kami rasa hanya Usamah sahaja yang berani memberitahunya, kerana dia adalah kekasih Rasulullah s.a.w. Maka Usamah pun pergilah untuk memberitahu kepada Rasulullah s.a.w, lalu Rasulullah s.a.w bersabda: "Jadi maksud kamu semua ialah untuk memohon syafaat terhadap salah satu dari hukum Allah?"

Kemudian Baginda berdiri dan berkhutbah:

"Wahai manusia! Sesungguhnya yang menyebabkan binasanya umat-umat sebelum daripada kamu ialah, apabila mereka mendapati ada orang mulia yang mencuri, mereka membiarkannya sahaja. Tetapi apabila mereka dapati orang lemah di antara mereka yang mencuri, mereka akan menjatuhkan hukuman ke atasnya. Demi Allah, sekiranya Saidatina Fatimah binti Muhammad yang mencuri, nescaya aku akan memotong tangannya."




Sebak.

Entah mengapa tatkala sampai kepada ayat "Demi Allah, sekiranya Saidatina Fatimah binti Muhammad yang mencuri, nescaya aku akan memotong tangannya" hati menjadi sayu. Sungguh, Saidatina Fatimah tidak akan pernah mencuri.

Tiada bezanya manusia bila berdepan dengan ketetapan Allah. Baik yang mulia atau hina, kaya ataupun miskin, berkedudukan mahupun tidak. Semuanya sama.

Dan kalau saja ingin dibandingkan kemuliaan antara 2 wanita tersebut (Saidatina Fatimah dan wanita bangsawan dari kabilah Makhzumiah), tentunya tidak terkalahkan Saidatina Fatimah, kerana beliau merupakan keturunan baginda nabi sollallahu 'alaihi wasallam.

Hatta Saidatina Fatimah binti Rasulullah sabda baginda.



Siapalah kita untuk berasa mulia dan mengatakan tidak?

Wallahu ta'ala a'lam.


Qasidah: Al-Hadad Qad Kafani






Al Imam Abdullah al-Hadad lahir di Hadramaut, Yaman pada tanggal 5 bulan safar tahun 1044 Hijrah.

Ulama sufi yang masyhur ini merupakan seorang daie yang gigih dalam menyebarkan ilmu dan kalam kebenaran, menjadikan kota Hadramaut tumpuan para tolibil 'ilm yang dahagakan ilmu.

Nah, dengarkan qasidah Hadad ini. Maksudnya mendalam. Membuatkan kita tersentuh dan larut dalam senandung rintihan al-imam.

Syukran kepada yang sudi mengajarkan. Moga Allah yang membalasnya.





Lirik 1


Lirik 2


p/s- Salam 'aidil adha buat semua..


Duduk berhimpun melihat orang soleh


Al Alamah Al Habib Umar Bin Hafiz

Belum ke Yaman, juga tak tahu jika ada jodoh untuk berpijak di negeri tua itu.

Tapi semalam kita sempat berhimpun bersama-sama sahabat yang lainnya untuk melihat wajah Habib Umar bin Hafiz secara terus di Hayyu Asyir. Dekat sangat, rugilah tak pergi.

Kami bangun tanda kasih, lalu mendendangkan nasyid "Talaal badru alaina" tatkala alhabib tiba ke dataran tempat orang ramai berkumpul.

"Rasa macam Rasulullah hidup dengan kita lagi, auranya hebat", seloroh seorang teman.

Susuk tubuh keturunan baginda nabi ini insan yang gigih dalam menyedarkan masyarakat tentang cinta Allah dan rasul-Nya, membangunkan rohani dan jiwa manusia yang sunyi dari nilai-nilai Islam.

Tentulah, jiwa yang sarat penuh dengan cinta dan mutiara ilmu mampu mengisi jiwa-jiwa dan hati kita yang kosong.

Moga kita termasuk dalam doa-doa yang diaminkan alhabib kelmarin.

Wallahu ta'ala A'alam.


Binakan semula Kota Melaka dan legasinya


Ini bukan kota Melaka ya..


Kota Melaka bukanlah kota sebarangan kerana diperbuat ia dari bahan yang ampuh. Tempat rakyat jelata duduk berteduh, sesuai sebagai benteng pertahanan bila diserang musuh.

Adapun keampuhan kota ini pernah disebutkan oleh Abdullah sebagaimana berbunyi;

"Bagaimana teguhnya serta dengan tebal dan lebarnya, semuanya batu besi belaka. Satu-satu batu itu lebarnya sedepa: demikianlah dibuat oleh Mejar Farquhar -diletupkan dari bawah tanah- semuanya habis terbang. Jikalau tidak dibuatnya begitu, nescaya sampai hari ini pun dipecahkan satu-satu batu itu belum boleh habis."

Dek permasalahan dalam dan luar istana yang tidak mampu dibendung, maka kalah juga Melaka ditangan soldadu Feringgi bila mana jambatan Melaka berjaya ditawan.

Kedatangan mereka bukan sekadar memastikan penguasaan eropah terhadap perdagangan rempah melainkan untuk meneruskan agenda salibiah jua.

Maka tidak sedikit kehinaan yang menimpa umat Islam ketika itu seperti mana yang disebut oleh ahli sejarah Melaka abad ke 21 kemudiannya, sebagaimana berbunyi;

"Kota A Famosa didirikan sebagai benteng pertahanan terhadap serangan-serangan balas yang bakal dilakukan oleh penduduk setempat. Dan kota tersebut dibina daripada batu-batu hasil runtuhan Kota Melaka, masjid-masjid dan maqam-maqam sultan."

Biarpun kejatuhan ini menjadi episod duka seluruh Nusantara, ia tetap meninggalkan satu khazanah berupa undang-undang bertulis berasaskan syariat Islam diberi nama Hukum Kanun Melaka & Undang-undang Laut Melaka.

Implementasi undang-undang Islam telah berlaku sejak lebih 500 tahun yang lalu.

Yang demikian merupakan satu legasi peninggalan Kerajaan Melaka tiada ternilai dan sepatutnya dikaji dan dijadikan asas dalam perlaksanaan syariat Islam Malaysia masa kini.



Barangkali soldadu Portugis yang melukiskan ini..


Ah, manusia jangan begitu takbur menidakkan undang-undang Allah di atas muka bumi.

Ayuh.

Binakan semula 'kota Melaka' yang telah rakus diruntuhkan musuh. Hidupkan kembali legasi peninggalan berupa undang-undang Islam di bumi emas ini. Semoga ia terpasak kukuh dan ampuh, menjadi benteng buat umat Islam dari panahan-panahan ghazwatul fikr zaman kini.

Kita asalnya hina, hanya dengan Islam menjadi mulia.

Wallahu ta'ala a'lam.

p/s- sokong mereka yang memperjuangkan implementasi hudud di tanah air.



Rujukan
1) Cerita-cerita dari Abdullah Munshi
2) Undang-undang syariah vs common law (link)


Mimpikan 'Hikayat Abdullah'


Alhamdulillah.

Hari ini berkesempatan jumpa seorang sahabat kat KL. Lama juga tak jumpa. Kali terakhir masa winter 2 tahun lepas di Mesir.

Selesai berborak panjang, aku pun tahan teksi ke Dewan Bahasa & Pustaka. Cadangnya nak balik rumah sekali dengan mak. Pejabat hanya terletak di menara MAA yang memang dah dekat sangat dengan DBP.

Boleh tahan banyak buku di sini. Tak kurang juga dari terbitan-terbitan lama.

Teringat satu buku yang memang aku teringin nak baca. Hikayat Abdullah oleh Munshi Abdullah. Karya ini siap dikarang pada tahun 1845.

Buku yang sedikit sebanyak menceritakan tentang latar masyarakat di Melaka dan Singapura zaman tu. Macam cool gila kalau dapat baca ni!

"Hm.. bang, nak tanya buku boleh?"

"Boleh, buku ape ye?"

"Hikayat Abdullah!" aku separuh menjerit.

"Oh, sekejap..
Dik, buku ni Karya Agung.."

"Karya Agung tu macam mane?"

"Karya Agung ni salinan asal, dan biasanya mahal. Cuba tengok kat depan tu"
Sambil merujuk kepada rak buku di depan.

Aku teliti beberapa buah buku yang dilabel karya agung ini. Helaian kertasnya kuning kitab jawi lama, cover pulak tidak bergambar.

Memang 'agung'. Nampak klasik sangat.

"Yeke mahal, mahal tu berape bang?"

"Kejap..Hm, 160 ringgit"

Senyum kambing sekejap kat brader ni.

"Hoho. Takpe lah bang. Saya amik yang ni je"
Aku bayar harga 2 buah buku yang sedia ada kat tangan.


Tak sampai hati pulak nak beli. Takde jodoh kot hari ini. Takpa la.
Kumpul duit sebulan 15 ringgit boleh dah nak beli tahun depan kalau nak sangat.

Orang lain boleh je kumpul duit dari kecik untuk beli cincin.
Takkan kita tak boleh..hehe.

p/s- makin besar nikmat kita dapat, makin besar tanggungjawab kita pada masyarakat..


Tetamu senja- A Samad Said





Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja
Bila cukup detik kembalilah
Kita kepadanya
Kita datang ini kosong tangan dada
Bila pulang nanti bawa dosa bawa pahala

Pada tetamu yang datang dan
Kenal jalan pulang
Bawalah bakti mesra kepada
Tuhan kepada Insan
Pada tetamu yang datang
Dan lupa jalan pulang
Usahlah derhaka pula
Pada Tuhan kepada insan

Bila kita lihat manusia lupa tempat
Atau segera sesat puja darjat
Puja pangkat
Segera kita insaf kita ini punya kiblat
Segera kita ingat kita ini punya tekad

Bila kita lihat manusia terbiar larat
Hingga mesti merempat ke laut biru
Ke kuning darat
Harus kita lekas sedar penuh pada tugas
Harus kita tegas sembah
Seluruh rasa belas

Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat
Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat


..Tiap-tiap umat mempunyai ajal. Apabila telah datang ajal mereka,
maka mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaatpun
dan tidak (pula) mendahulukan(nya).

[Yunus; 49]


Kisah Hang Padia mengerat buluh



Letih bermandi peluh menggali perigi 4 hasta dalamnya, kita meredah hutan pula.

Berkira-kira untuk mencari buluh yang tebal. Bukan buluh telur, bukan juga buluh lemang kerana dua macam jenis buluh yang kita sebutkan tadi nipis sifatnya.

Arakian melihat serumpun buluh sedikit tua yang duduknya asing dari rumpunan buluh yang lain, kita tersenyum gembira. Kerana rumpun buluh yang ini istimewa sekali. Panjang dan tebal, berdiri tegak ke langit membahasakan keampuhannya.

Buluh sakti barangkali.

Selesai saja solat zuhur tatkala gelincirnya mentari, kita keratkan buluh-buluh 'sakti' tadi menjadi ukuran yang sama panjang.

Mujur tiada Puteri Buluh Betung duduk menginap berteduh di situ. Jikalau tidak, jenuh pula kita hendak menjawab bila ditanya orang kampung. Pergi seorang, balik berdua.

Diikat, lalu dipundakkan ke tubuh. Deras kita berjalan pulang bertongkatkan tulang kaki, femur dan tibia yang besar.

"Apa kerja Hang Padia itu mengerat buluh ketika Syawal begini. Alangkah baik jika dikerat sebelum takbir raya, boleh juga kita membuat lemang atau menghias kampung seperti di Batu Pahat. Kerana di sana rakyatnya suka berpesta pelita pada malam 7 likur."

Bisik-bisik orang kampung tidak kita pedulikan. Entah mengapa bisiknya menjadi sungguh kuat sampai terdengar oleh kita. Ah, persetankan.

Buluh-buluh tadi kemudiannya kita bersihkan luar dan dalamnya. Kita ambil sabut kelapa, lalu diselitkan pada pelepah salak yang panjang. Terus digosok-gosok bahagian dalam buluh.

Kalau di zaman kalian, umpama memberus botol susu gamaknya.

Selesai menggosok kita pukul batang buluh tersebut hingga habis keluar miang-miangnya, putih bertebaran ke udara. Kemudian buluh-buluh tadi disusun membentuk 6 batang saliran yang panjang.

Hujung setiap dari yang satunya kita himpunkan pada perigi yang digali tadi. Hujung yang satu lagi pula kita halakan pada 6 anak sungai dari bukit yang berbeza.

Saliran yang pertama pada anak sungai yang bernama Ain, yang kedua Anf, yang ketiga Famm, yang keempat Uzn, yang kelima Yadd dan yang keenam Qadm.

Begitulah nama anak-anak sungai yang mungkin asing bunyinya di kalangan rakyat setempat. Tiada pula mampu disebut dengan baik oleh mereka. Bahkan dimelayukan pula seabad kemudian. Melayu berdaulat mereka bilang.

Akhirnya perigi kita penuh dengan air dari tujuh bukit ini.

Bersih dan segar, boleh dibuat bersuci.



Alahai.
Melihatkan saliran dan perigi ini membuatkan kita teringat pula akan pesan ulama tasawwuf.

6 saliran buluh yang tadi seumpama anggota tubuh kita yakni mata, hidung, telinga, mulut, tangan dan kaki yang berhubung terus dengan perigi yang disyibbih sebagai hati.

Anggota-anggota tersebut ibarat pintu kepada hati. Andai saja kita leka hingga membiarkan hal maksiat menceroboh masuk melaluinya, pasti sang hati akan menjadi gelap dan kita menjadi buta dalam membezakan yang haq dan yang batil.

Pintu yang sangat sensitif.

Kalau hanya satu saja anak sungai yang tercemar, perigi tersebut tetap menjadi keruh binasa. Walaupun 5 saliran buluh yang berbaki mengalirkan anak sungai yang putih jernih kan..

Hati-hatilah dengan hati.
Wallahu taala a'lam.


TV: Tanyalah angah!



Bulan baik, hari baik.
24 Ramadhan.

Nabilah: Angah, hari raya (aidilfitri) untuk bangsa apa? Melayu ke, cina ke, india?

Angah: Hm, hari raya ni untuk orang Islam. Tak kisah la bangsa apa. Melayu, cina, India.

N: Yang jiran pak cik Bo*** tu sambut raya tak?

A: Dia Islam ke tak?

N: Entah..

A: Dia bukan Islam, jadi tak sambutlah raya :)
(Hoho.. pandainye aku jawab. Yes!)



Hi, saya tak puasa penuh. Tapi masih
bersemangat nak raya!


N: Kalau father's day boleh sambut tak?

A: Boleh!

N: Sebab kawan Bilah kata tak boleh sambut sebab tu Kristian punya..

A: Oh. Boleh, sebab sambutan hari bapa tak bertentangan dengan ajaran Islam.

N: (Nganga kejap..)

A: Eh, faham tak?

N: Tak fahamlah. Bertentangan tu ape?

A: Bertentangan tu berlawanan. Gitu-gitu tu..

(Argh, camne nak explain. Sapelah kawan dia ni?
Karang aku sebut aqidah lagi pening.. @#%$%)


Pemikiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat


Tatkala melewati beberapa rak buku di toko buku milik seorang cini ini, mata saya tertangkap wajah redup dan tenang Tok Guru Nik Aziz yang menjadi cover sebuah buku.
Putih dan bersih.

Saya baca tajuknya.
Pemikiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Belek pula kandungan dalamnya secara kasar. Lihat rujukannya, terus tersenyum.

"Rujukan utama: Al-Quran dan Sunnah"




Penulis: Mohd Aizat Mohd Salleh Al-Hafiz
Penerbit: PTS Millenia
Tahun Terbitan : 2011
Bil muka surat: 149
Sumber: Duit poket yang tak berapa tebal

Bagi mereka yang mengenal TG hanya melalui isu semasa yang dimainkan media pro kerajaan, pasti timbul 1001 prejudis terhadap kelibat beliau dalam arena politik, dan secara langsung terhadap PAS.

Walhal, beratus kuliah mingguan beliau tidak pula kita ikuti. Gaya bahasa, buah fikiran dan atur katanya.

Tidak adil jika menilai peribadi TG tanpa membuat penilitian dan kajian tentang latar belakang dan sejarah beliau dengan lebih terperinci. Tak kenal maka ta'aruf kan.

Nah, buku ini antara jawapannya. Pembaca disajikan dengan latar belakang keluarga, pendidikan dan sejarah penglibatan dalam politik.

Apa yang dimaksudkan sebagai Kelantan model negeri Islam juga dapat saya fahami dengan lebih baik melalui penerangan tentang perubahan-perubahan yang dilaksanakan oleh TG.

Penggal kedua buku ini pula membincangkan tentang isu semasa yang mendapat sentuhan TG. Antaranya isu non-muslim membaca ayat Quran, non-muslim dan masjid, kalimah Allah dan banyak lagi. Justeru menjawab tohmahan dan serangan yang dilemparkan kumpulan tertentu.

Highly recommended.

Menjernihkan keruh yang kadang meresap masuk dalam fikiran kita.
Sungguh, TG Nik Aziz tokoh Islam yang bukan calang-calang dalam era kebangkitan Islam masa kini.

Wallahu ta'ala a'lam.
Peace!

p/s- saya lebih thiqoh dengan pandangan TG berbanding individu-individu lain dalam isu perpaduan, melihat kepada ketinggian ilmu dan pengalaman beliau dengan bacaan politik yang bukan sebarangan.


Apabila sihat kepalanya, tubuh yang lain tidak akan rosak


Daulah, jika yang memimpinnya orang yang soleh nescaya akan menjadi aman negeri tersebut.

Kemakmuran dan kemewahan akan tersebar kepada seluruh rakyat jelata, waima kepada haiwan dan binatang sekalipun.


Imam Malik bin Dinar berkata:

“Ketika Umar bin Abdul Aziz diangkat menjadi khalifah, para penggembala kambing di puncak gunung berkata:

من هذا الرجل الصالح الذي قام خليفة على الناس؟
Siapakah khalifah yang soleh yang sedang
memerintah manusia sekarang ini ?

Lalu orang-orang yang berasal dari kota bertanya kepada mereka: 'Mengapa kalian mengetahui semua itu?'


Para penggembala menjawab:

فإن عدله كفّ الذئاب عن أغنامنا
Sesungguhnya pemerintahan apabila dipegang oleh seorang khalifah yang saleh,
serigala dan singa tidak akan mengganggu kambing-kambing kami !

Read more »


Imam Busiri, burdah dan mimpi Syeikh Soleh Jafari


Imam Sharafuddin Muhammad Al-Busiri atau lebih kita dikenali dengan nama Imam Busiri lahir di Mesir pada tahun 608 Hijrah.

Pencinta Allah dan baginda rasul ini mahir dalam mengarang puisi.

Diceritakan, pada suatu ketika beliau menghidap satu penyakit sampai lumpuh sebahagian tubuhnya.

Lalu al-imam mengarangkan sebuah qasidah memuji Saidina Rasulullah.
Menadah tangan memohon pertolongan kepada al-Khaliq, agar disembuhkan sakit yang dihidapinya.

Suatu hari tatkala membacakan qasidah yang dikarang, beliau lalu tertidur. Dalam tidurnya beliau bermimpikan baginda nabi. Beliau menceritakan akan sakit yang dialaminya kepada baginda yang kemudiannya menyentuh bahagian tubuh yang lupuh tersebut.

Apabila terjaga dari tidur, al-imam mendapati sehelai Burdah (atau dipanggil orang sebagai skaf, selendang juga yang selayaknya) ada pada anggota yang lumpuh tersebut sebagaimana yang diletakkan baginda dalam mimpi al-imam tadi.

Dengan izin Allah, dari keberkatan sayyidul Anbiya', maka sembuhlah sakitnya al-imam kita ini.
Beliau lantas menamakan qasidah yang dikarangnya sebagai Qasidah Burdah.

Read more »


Stesen orang-orang yang Syahid


Semenjak dua menjak ni, rajin pula kita menggunakan metro. Keratapi lama ini memang terkenal dengan zahmahnya (sesak) dan kepanasannya.

Maklumlah, ia menggunakan sistem penghawa dingin semula jadi iaitu tingkap. Murah.

CFC-free lagi.

Adapun kipas yang dipasang pada bumbung train, tiadalah dapat ia mengubat sakit panas kita. Hatta semut pun barangkali tidak mampu diterbangkan dek tiupan kipas yang manja-manja ini.

Setiap kali tiba di stesen atau Muhattoh tertentu, seperti biasa train akan berehenti seketika. Jarak di antara setiap stesen tidak jauh.

Dan setiap satu darinya juga tidak mempunyai penghawa dingin. Panas.

Menariknya, setiap kali hampir tiba ke stesen Al-Shohadaa, satu macam hawa yang nyaman dapat dirasai. Sejuk. Tiada dapat kita merasa nyaman seperti ini di stesesn lain sekitarnya.

Semuanya masih tidak berpenghawa dingin.

"Ah, sejuknye. Kat Shohadaa.. padanlah. "
"Syurga, tempat orang-orang syahid."

Sempat kami tersenyum-senyum berseloroh. Alangkah seronoknya jika semua stesen di Mesir ber'aircond'. Nasir, Orabi (stesen) dan lain-lain juga perlu syahid nampaknya selepas ini.



Stesen ini pada asalnya bernama Mubarak. Setelah
kebangkitan Mesir 25 Januari, stesen ini telah ditukar namanya
menjadi Al-Shohadaa, bersempena dengan sejumlah warganya
yang terbunuh ketika proses tersebut.


Semalam, Mubarak dibicarakan dalam keadaan sakit terlantar di atas katil. Banyak cerita yang kita dengar tentang kezaliman yang dilakukan sepanjang sihatnya. Terutama kisah pimpinan-pimpinan IM yang teruk didera.

Sungguh, kezaliman yang dilakukan jika tidak terbayar di atas muka bumi pasti akan dilunaskan di hari perhitungan kelak.

Wallahu ta'ala a'lam.