Kisah Saidina Ibnu Umar dan si pengembala kambing




Pada suatu hari keluarlah Abdullah bin Dinar bersama-sama Ibnu Umar ke kota Makkah. Menetap akan keduanya di sana buat beberapa ketika.

Adapun jiran mereka merupakan seorang pengembala kambing. Lalu bertanya akan Ibnu Umar kepada ar-raie tersebut, “Adakah engkau pengembala?”

“Ya,” balas si pengembala tersebut ringkas.

Berkata lagi Ibnu Umar, “Jualkan padaku seekor kambing dari ternakan kamu wahai si pengembala.”

Tiadalah berani akan dia menjual sesuatu yang bukan haknya. Dengan tegas ar-raie tersebut menjawab, “Sesungguhnya aku hanya seorang mamluk, diupah oleh sohibul ghanam untuk menjaga binatang ternakannya.”

“Katakan sahaja pada tuan kamu bahawasanya ternakan milik beliau telah dimakan oleh serigala.” Ujar Ibnu Umar mengajarkan sebuah helah.

Si pengembala kemudiannya membalas, “Maka di mana Allah ‘azzawajalla?”
Pertanyaan yang bukan mengharapkan kepada jawapan melainkan sebuah peringatan buat Ibnu Umar.

Mendengarkan kata-kata tersebut, menangis merintihlah Ibnu Umar kemudiannya dalam keadaan terlalu sedih dan dukacita.

“Fa ainallah, fa ainallah!” rintihnya sambil mengulang-ngulang pertanyaan ar-raie tadi. Bermulalah kedukaan dan penyesalan Ibnu Umar. Sedunya panjang sekali.

Tidak lama kemudian Saidina Ibnu Umar radhiallahu ‘anhu membeli pengembala tadi dari tuannya, dibebaskan dan kemudiannya diberikan binatang ternak untuk ar-raie tersebut kembali mengembala.

Sesungguhnya si pengembala tersebut sentiasa merasakan diri diperhatikan al-Khaliq, maka tiada langsung ruang dan kesempatan untuknya melakukan kemaksiatan pada Allah.

Teladani si pengembala. Justeru rasa diperhati menjadikan kita lebih waspada dan hazar dalam setiap tindakan.

Maha suci Allah yang mengetahui walau sehelai daun yang gugur dari pohonnya.
Wallahu ta’ala a’lam.


Glosari

  • الراعي- pengembala
  • صاحب الغنم- pemilik ternakan


p/s- Kita merujuk kitab "مع أولياء الله الصالحين" oleh Syeikh Nuruddin Marbawi al-Banjari al-Makki.