Archive: October 2011


Duduk berhimpun melihat orang soleh


Al Alamah Al Habib Umar Bin Hafiz

Belum ke Yaman, juga tak tahu jika ada jodoh untuk berpijak di negeri tua itu.

Tapi semalam kita sempat berhimpun bersama-sama sahabat yang lainnya untuk melihat wajah Habib Umar bin Hafiz secara terus di Hayyu Asyir. Dekat sangat, rugilah tak pergi.

Kami bangun tanda kasih, lalu mendendangkan nasyid "Talaal badru alaina" tatkala alhabib tiba ke dataran tempat orang ramai berkumpul.

"Rasa macam Rasulullah hidup dengan kita lagi, auranya hebat", seloroh seorang teman.

Susuk tubuh keturunan baginda nabi ini insan yang gigih dalam menyedarkan masyarakat tentang cinta Allah dan rasul-Nya, membangunkan rohani dan jiwa manusia yang sunyi dari nilai-nilai Islam.

Tentulah, jiwa yang sarat penuh dengan cinta dan mutiara ilmu mampu mengisi jiwa-jiwa dan hati kita yang kosong.

Moga kita termasuk dalam doa-doa yang diaminkan alhabib kelmarin.

Wallahu ta'ala A'alam.


Binakan semula Kota Melaka dan legasinya


Ini bukan kota Melaka ya..


Kota Melaka bukanlah kota sebarangan kerana diperbuat ia dari bahan yang ampuh. Tempat rakyat jelata duduk berteduh, sesuai sebagai benteng pertahanan bila diserang musuh.

Adapun keampuhan kota ini pernah disebutkan oleh Abdullah sebagaimana berbunyi;

"Bagaimana teguhnya serta dengan tebal dan lebarnya, semuanya batu besi belaka. Satu-satu batu itu lebarnya sedepa: demikianlah dibuat oleh Mejar Farquhar -diletupkan dari bawah tanah- semuanya habis terbang. Jikalau tidak dibuatnya begitu, nescaya sampai hari ini pun dipecahkan satu-satu batu itu belum boleh habis."

Dek permasalahan dalam dan luar istana yang tidak mampu dibendung, maka kalah juga Melaka ditangan soldadu Feringgi bila mana jambatan Melaka berjaya ditawan.

Kedatangan mereka bukan sekadar memastikan penguasaan eropah terhadap perdagangan rempah melainkan untuk meneruskan agenda salibiah jua.

Maka tidak sedikit kehinaan yang menimpa umat Islam ketika itu seperti mana yang disebut oleh ahli sejarah Melaka abad ke 21 kemudiannya, sebagaimana berbunyi;

"Kota A Famosa didirikan sebagai benteng pertahanan terhadap serangan-serangan balas yang bakal dilakukan oleh penduduk setempat. Dan kota tersebut dibina daripada batu-batu hasil runtuhan Kota Melaka, masjid-masjid dan maqam-maqam sultan."

Biarpun kejatuhan ini menjadi episod duka seluruh Nusantara, ia tetap meninggalkan satu khazanah berupa undang-undang bertulis berasaskan syariat Islam diberi nama Hukum Kanun Melaka & Undang-undang Laut Melaka.

Implementasi undang-undang Islam telah berlaku sejak lebih 500 tahun yang lalu.

Yang demikian merupakan satu legasi peninggalan Kerajaan Melaka tiada ternilai dan sepatutnya dikaji dan dijadikan asas dalam perlaksanaan syariat Islam Malaysia masa kini.



Barangkali soldadu Portugis yang melukiskan ini..


Ah, manusia jangan begitu takbur menidakkan undang-undang Allah di atas muka bumi.

Ayuh.

Binakan semula 'kota Melaka' yang telah rakus diruntuhkan musuh. Hidupkan kembali legasi peninggalan berupa undang-undang Islam di bumi emas ini. Semoga ia terpasak kukuh dan ampuh, menjadi benteng buat umat Islam dari panahan-panahan ghazwatul fikr zaman kini.

Kita asalnya hina, hanya dengan Islam menjadi mulia.

Wallahu ta'ala a'lam.

p/s- sokong mereka yang memperjuangkan implementasi hudud di tanah air.



Rujukan
1) Cerita-cerita dari Abdullah Munshi
2) Undang-undang syariah vs common law (link)