Archive: March 2010


Terokai potensi diri kunci pembentukan masyarakat madani


Meletusnya bom atom di Hiroshima dan Nagasaki menandakan kebangkitan yang lebih hebat bagi Jepun semasa era meiji. Jepun yang menyerah kalah kepada Amerika Syarikat dalam Perang Dunia ke-2 dengan pantas menyusun atur rencana baru pembangunan negara mereka. Program pembangunan industri agresif yang dijalankan membawa arus kedua transformasi Jepun ke arah pemodenan, lantas menjadi sebuah kuasa ekonomi dunia dewasa ini.

Bangkit dari kegagalan itu suatu yang hebat kerana tidak semua mampu melakukannya. Bagai harimau yang kelaparan, walau tewas sekali untuk menerkam mangsanya pasti si raja rimba ini akan mencuba untuk kali kedua.


Senyum..!

Dunia dewasa ini menuntut kepada kecemerlangan sama ada secara individu ataupun berkumpulan. Ilmu antara ukurannya. Tidak dapat tidak, setiap dari kita perlulah memperkasakan diri dengan ilmu agar kemajuan dapat dicapai.

Mengambil kata-kata Saiful Islam, menjadi cemerlang itu bukanlah pilihan tetapi kemestian bagi umat Islam. Penguasaan dalam bidang ilmu pengetahuan merupakan suatu obligasi bagi setiap individu muslim.

Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad, itu pesan Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam. Menggambarkan proses menuntut ilmu itu adalah sesuatu yang berterusan. Tiada batasan umur dan usia.

Benar kata seorang ulama’. Kita sekarang berada di zaman yang memerlukan kepada pengkhususan. Andai tidak dapat menggapai semua bidang ilmu sekalipun, biarlah kita ini punya pengetahuan yang lebih mendalam dalam satu-satu cabang ilmu yang lebih spesifik.

Kenal pasti potensi diri, cernakan ia menjadi suatu kelebihan.



Tiada sempadan usia dalam menuntut ilmu.

Illa syuwaiyah minal yaban

Kurang sedikit berbanding (kemajuan) Jepun. Ini kata-kata sebahagian penduduk Ummuddunya. Cuba menggambarkan negara mereka berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan Jepun dari sudut kemajuan.

Adakah ini suatu fakta? Atau mungkin sekadar majaz atau kiasan yang keterlaluan?

Berpijak dibumi yang nyata, negara-negara Islam ketika ini masih ketinggalan. Walau satu ketika pernah mencoretkan kegemilangan tamadun Islam di persada dunia, seharusnya kita tidak terusan berbangga dan sekadar mengukir senyuman tatkala dikhabarkan tentang kehebatan Islam ketika itu.

Benar, dunia Islam pernah melahirkan tokoh-tokoh yang terkenal dan berwibawa. Mengambil contoh dalam bidang perubatan, Ibnu Sina atau Avicenna adalah nama yang tidak asing lagi. Karangan beliau, Al-Qanun Fittib menjadi rujukan utama eropah ketika zaman Renaissance. Beliau turut menghasilkan ubat bius dan priskripsi ubat-ubatan yang jumlahnya sebanyak 760 jenis. Begitu juga Ar-Razi dan Ibnu Rusydi. Mereka merupakan cendiakawan ulung yang menggunakan potensi diri secara maksima dalam membuat kajian dan ciptaan yang amat memberangsangkan.


Antara tokoh perubatan muslim.

Tetapi tidak seharusnya generasi Islam alaf ini hanya sekadar tegar membatukan diri. Kita perlu segera bangkit. Generasi yang berhajat kepada kemajuan ini memerlukan kepada anjakan perubahan, dari generasi pengguna kepada generasi pengkaji dan pencipta. Penghasilan ubat-ubatan baru dan penglibatan dalam cabang-cabang ilmu yang terkini dalam bidang perubatan seperti kejuruteraan bioperubatan merupakan antara cabaran yang perlu diambil sesiapa sahaja yang punya kemampuan.

Semestinya kita mengkaji sejarah, mengambil ibrah atau pengajaran, lantas mencari solusi kepada tribulasi yang membawa kepada kemelut dalam dunia Islam ketika ini.

Umat Islam pasca kejatuhan khilafah punya cabarannya yang tersendiri. Dunia fitnah ketika ini memerlukan kita memiliki jati diri seorang muslim yang utuh. Umpama sebatang pokok yang kuat ditiup angin, ia memerlukan akar yang kuat agar dapat berdiri kukuh, dan akar yang dimaksudkan di sini adalah iman.

Peliharalah iman dan Islam bagai khazanah yang sangat berharga. Supaya nantinya kita tidak mudah goyah dan sentiasa terlindung dari ditiup hembusan penyakit wahan, iaitu cintakan dunia dan takutkan mati.

Kemenangan Islam itu sudah dijanjikan Allah. Terserah sama ada kita mahu atau tidak menjadi antara kayu-kayu api yang membakar diri untuk kemenangan Islam. Tepuk dada tanyalah iman.

Ikutlah resam pipit yang membantu Nabi Ibrahim ‘alaihi salam. Biar bantuan itu kecil sekalipun, mudah-mudahan ia akan menjadi bukti di hadapan Allah kelak.

Jangan dibiarkan potensi diri menjadi pekasam. Terokai potensi dirimu kerana sumbangan kamu sangat-sangat diperlukan dalam pembentukan masyarakat madani. Moga-moga kita menjadi kayu api yang punya nyalaan marak.

“Kurang sedikit dari kemajuan Islam”.

Bukankah lebih molek jika bunyinya begini.




Artikel di atas ada mendapat ole-ole dari Medicophilic week. Tulisan amatur dengan tatabahasa yang tunggang-langgang amatlah dikesali. Sekadar berkongsi, moga ada manfaatnya.

Wallahu A'alam.