Belajar untuk sayang


Tahukah, aku belajar untuk sayang.
Tiada ia diperoleh mudah-mudah seperti makan ulam raja yang dicicah belacan.

Waktu kecil dahulu kita ni pantang dimarah ibu.

Kalau dimarah sahaja, berjalan kita ke bilik sambil dihentak-hentak kaki ke bumi. Mahu saja bumi terkoyak memuntahkan isi tanahnya kerana hentakan yang terlalu kuat.

Laceration dalam bahasa forensiknya.

Di bilik, katil double decker pula ditendang-tendang dari bawah. Biar meletup-letup bilik.





Tak cukup, maka diambil buku kanak-kanak, Doraemon namanya. Diconteng pula dengan lukisan-lukisan berbentuk ibu yang jahat. Dihiasi pula dengan kata kesat. Sungguh luar biasa pemikiran anak ini.

Asrama Harian

Dikurung di sebuah sekolah digelar baituttalabah menjadikan aku agak bebas. Tidak lagi dikawal ibu mahupun ayah. Aku senang menghabiskan masa disini.

Apapun, waktu melawat adalah heaven bagi aku. Rasa seronok setiap kali dilawat. Entah mengapa, semangat yang luntur bagai dicas semula.

Tetapi, budak kurang matang macam kita ini tetap buat hal. Pantang ditegur, muka selenga dijaja.

Hal yang begini memang amat mendukacitakan ibu. Manakan tidak, perjalan ke madrasah ini bukan dekat. 2 marhalah kiranya jika pergi dan balik.

Maka di malam hari, berendam air matalah kita.
Mengenang fe'el sendiri yang entah apa-apa.

Asrama penuh

Mujur, keputusan kita baik. Maka kita berhijrah ke madrasah lain. Madrasah ini lebih hebat kurungannya.

Jika hampir musim imtihan, boleh jadi sebulan setengah kita tidak menjenguk rumah.

Tetapi ibu dan ayah masih menziarah. Tidak pun alah pada jarak yang jauh.
Pada masa inilah kita belajar mencium pipi ayah dan bonda, melepas rindu.

Amalan yang tidak kita lupakan sehingga kini.

Mesir

Kita dibayar untuk belajar menjadi tabib di sini.
Senior bilang, "Kamu akan jumpa pemata di sebalik bumi Mesir yang berdebu ini".

Permata yang tidak disebut secara terperinci olehnya. Permata apakah? (pening)

Mungkin juga permata itu suatu entiti yang subjektif.
Lain orang lain jawapannya.

Jarak beribu batu, maka aku lebih kerap menggunakan sms untuk berhubung.
Di sinilah aku belajar menggunakan perkataan 'sayang'.
Perkataan yang ditulis untuk menggambarkan kerinduan.

Pelikkan. Dulunya lain.
Tiada lagi kata-kata kesat yang diconteng pada kertas.

Gaya cekak pinggang, terpengaruh dengan Ranjer Berkuasa.



Aku mula belajar adab dalam kata-kata dan muamalat dengan orang sekeliling.

Aku belajar untuk sayang. Ia tidak hadir dengan sendiri.
Sesuatu yang mengambil masa.

Moga rasa ini tidak terhenti bahkan makin bertambah hendaknya.

Tiada pula kita mampu membalas segala jasa bonda.
Hanya doa jua yang kita titipkan.

وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا ﴿٢٤

Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan
dan ucapkanlah "Wahai tuhanku, kasihilah mereka keduanya,
sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil".



(Selamat ulang tahun kelahiran untuk mama!)

Semoga sentiasa hidup dalam mahabbah.
Wassalam.

2 Responses


  1. Laskar Cinta on April 19, 2011 at 11:18 AM

    :) rindu zaman kite kecik2 dulu hihi angah takut burung kecik masuk umah kn haha

  2. mohd hazwan bin mohd salleh on April 19, 2011 at 3:13 PM

    yup.

    hm..eh, ade ke. mane ade.
    (buat2 amnesia kejap sambil geleng..)

    ;P