Tuntuni langkah Imam Syafie


Al-imam kesayangan kita ini namanya Muhammad bin Idris bin Al-‘Abbas bin ‘Uthman bin Shafi’ bin Al-Saib bin ‘Ubaid bin Yazid bin Hashim bin ‘Abd al-Muttalib bin ’Abd Manaf bin Ma’n bin Kilab bin Murrah bin Lu’i bin Ghalib. Biasa dipanggil orang Imam Syafie.

Lahirnya di Ghaza, pada tahun yang sama di mana wafatnya Imam Hanafi yakni pada tahun 150 hijrah.

Suka untuk kita babadkan di sini akan kehebatan al-imam itu, semenjak dari ia kecil lagi.

Beliau kembali ke Makkah ketika berumur 2 tahun, kerana tekad ibundanya menjadikan al-imam seorang ulama'.

Ketika berumur 7 tahun, beliau sudah menghafal Al-Quran. Ketika berumur 10 tahun pula, kitab Muwatta' susunan Imam Malik sudah dihafal. Ada riwayat mengatakan al-imam menghafalnya dalam tempoh 9 hari.

Kitab yang kita sebutkan ini bukan sedikit kandungannya. Ia memuatkan sejumlah hadis yang banyak, lebih kurang 1720 hadis.


Aduh, kita ini hadis 40 Imam Nawawi yang dibaca dari madrasah thanawiyyah dahulu pun masih tidak terhafal-hafal sehingga kini.

Masuk 15 tahun, guru beliau memberikan sijil mengizinkan al-imam menjadi mufti. Dan ketika berumur 17 tahun, beliau menjadi qadi di negeri Yaman.



Kubah masjid Imam Syafie

Arakian melihat sebuah kapal pada kubah di Masjid Imam Syafie, kita teringat akan kata-kata muallim kita.

Katanya,

"Kapal yang di atas kubah itu sebagai simbolik kepada pengetahuan dan ilmu Imam Syafie yang luas umpama lautan.

Adapun pendapat yang lain mengatakan ia merujuk kepada sifat al-imam yang sangat cintakan ilmu sehingga sanggup merantau ke serata tempat untuk mengutip ilmu dari orang-orang 'alim."

'Ala kulli hal, semuanya berbalik kepada peribadi Imam Syafie yang sangat sinonim dengan ilmu pengetahuan.


Maqam Imam Syafie. Berhampirannya terdapat 3 maqam lain iaitu
maqam malikatul Syam (isteri kepada Sultan Salahuddin Al-Ayubi),
maqam Sultan Mohd Al-Kamil (anak saudara Sultan Salahuddin) dan
maqam Mohd bin Al-Hakam sahabat kepada al-imam.

Menziarahi al-imam kelmarin benar-benar memberikan motivasi dalam meneruskan dan menggandakan usaha untuk terus menuntut ilmu.

Sedekahkan al-Fatihah dan kirimkan salam kecintaan buat ahli bait dan ulama' kecintaan Allah ini.

Ayuh, kita tuntuni langkah al-imam!

3 Responses


  1. AtiqahHanisMustapa on July 27, 2011 at 9:02 AM

    Seronoknye dapat pegi :(

  2. mohd hazwan bin mohd salleh on July 27, 2011 at 10:08 AM

    singgah la sini. dekat je Perth dengan Cairo :)

  3. Unknown on April 2, 2020 at 7:58 AM

    👍