Letih bermandi peluh menggali perigi 4 hasta dalamnya, kita meredah hutan pula.
Berkira-kira untuk mencari buluh yang tebal. Bukan buluh telur, bukan juga buluh lemang kerana dua macam jenis buluh yang kita sebutkan tadi nipis sifatnya.
Arakian melihat serumpun buluh sedikit tua yang duduknya asing dari rumpunan buluh yang lain, kita tersenyum gembira. Kerana rumpun buluh yang ini istimewa sekali. Panjang dan tebal, berdiri tegak ke langit membahasakan keampuhannya.
Buluh sakti barangkali.
Selesai saja solat zuhur tatkala gelincirnya mentari, kita keratkan buluh-buluh 'sakti' tadi menjadi ukuran yang sama panjang.
Mujur tiada Puteri Buluh Betung duduk menginap berteduh di situ. Jikalau tidak, jenuh pula kita hendak menjawab bila ditanya orang kampung. Pergi seorang, balik berdua.
Diikat, lalu dipundakkan ke tubuh. Deras kita berjalan pulang bertongkatkan tulang kaki, femur dan tibia yang besar.
"Apa kerja Hang Padia itu mengerat buluh ketika Syawal begini. Alangkah baik jika dikerat sebelum takbir raya, boleh juga kita membuat lemang atau menghias kampung seperti di Batu Pahat. Kerana di sana rakyatnya suka berpesta pelita pada malam 7 likur."
Bisik-bisik orang kampung tidak kita pedulikan. Entah mengapa bisiknya menjadi sungguh kuat sampai terdengar oleh kita. Ah, persetankan.
Buluh-buluh tadi kemudiannya kita bersihkan luar dan dalamnya. Kita ambil sabut kelapa, lalu diselitkan pada pelepah salak yang panjang. Terus digosok-gosok bahagian dalam buluh.
Kalau di zaman kalian, umpama memberus botol susu gamaknya.
Selesai menggosok kita pukul batang buluh tersebut hingga habis keluar miang-miangnya, putih bertebaran ke udara. Kemudian buluh-buluh tadi disusun membentuk 6 batang saliran yang panjang.
Hujung setiap dari yang satunya kita himpunkan pada perigi yang digali tadi. Hujung yang satu lagi pula kita halakan pada 6 anak sungai dari bukit yang berbeza.
Saliran yang pertama pada anak sungai yang bernama Ain, yang kedua Anf, yang ketiga Famm, yang keempat Uzn, yang kelima Yadd dan yang keenam Qadm.
Begitulah nama anak-anak sungai yang mungkin asing bunyinya di kalangan rakyat setempat. Tiada pula mampu disebut dengan baik oleh mereka. Bahkan dimelayukan pula seabad kemudian. Melayu berdaulat mereka bilang.
Akhirnya perigi kita penuh dengan air dari tujuh bukit ini.
Bersih dan segar, boleh dibuat bersuci.
Alahai.
Melihatkan saliran dan perigi ini membuatkan kita teringat pula akan pesan ulama tasawwuf.
6 saliran buluh yang tadi seumpama anggota tubuh kita yakni mata, hidung, telinga, mulut, tangan dan kaki yang berhubung terus dengan perigi yang disyibbih sebagai hati.
Anggota-anggota tersebut ibarat pintu kepada hati. Andai saja kita leka hingga membiarkan hal maksiat menceroboh masuk melaluinya, pasti sang hati akan menjadi gelap dan kita menjadi buta dalam membezakan yang haq dan yang batil.
Pintu yang sangat sensitif.
Kalau hanya satu saja anak sungai yang tercemar, perigi tersebut tetap menjadi keruh binasa. Walaupun 5 saliran buluh yang berbaki mengalirkan anak sungai yang putih jernih kan..
Hati-hatilah dengan hati.
Wallahu taala a'lam.
wah.. bahasanya tuan sudah umpama bahasa FT hehe..
bosan menunggu ketupat cinta musim kedua yg masih belum keluar-keluar..
orang suka ketupat palas je kot hehe
kiranya karya ini dipublish ke PO, pastilah lagi ramai yang beroleh manfaat, bukan kita-kita cuma. =)
nk taqdim jd penulis tetap utk ruangan karya atau tazkirah kat PO boleh? :D
silakan kalau rasa berbaloi. kecil tapak tangan, nyiru kita tadahkan.. ;)
penulis bebas boleh ke hehe..