Archive: September 2011


Mimpikan 'Hikayat Abdullah'


Alhamdulillah.

Hari ini berkesempatan jumpa seorang sahabat kat KL. Lama juga tak jumpa. Kali terakhir masa winter 2 tahun lepas di Mesir.

Selesai berborak panjang, aku pun tahan teksi ke Dewan Bahasa & Pustaka. Cadangnya nak balik rumah sekali dengan mak. Pejabat hanya terletak di menara MAA yang memang dah dekat sangat dengan DBP.

Boleh tahan banyak buku di sini. Tak kurang juga dari terbitan-terbitan lama.

Teringat satu buku yang memang aku teringin nak baca. Hikayat Abdullah oleh Munshi Abdullah. Karya ini siap dikarang pada tahun 1845.

Buku yang sedikit sebanyak menceritakan tentang latar masyarakat di Melaka dan Singapura zaman tu. Macam cool gila kalau dapat baca ni!

"Hm.. bang, nak tanya buku boleh?"

"Boleh, buku ape ye?"

"Hikayat Abdullah!" aku separuh menjerit.

"Oh, sekejap..
Dik, buku ni Karya Agung.."

"Karya Agung tu macam mane?"

"Karya Agung ni salinan asal, dan biasanya mahal. Cuba tengok kat depan tu"
Sambil merujuk kepada rak buku di depan.

Aku teliti beberapa buah buku yang dilabel karya agung ini. Helaian kertasnya kuning kitab jawi lama, cover pulak tidak bergambar.

Memang 'agung'. Nampak klasik sangat.

"Yeke mahal, mahal tu berape bang?"

"Kejap..Hm, 160 ringgit"

Senyum kambing sekejap kat brader ni.

"Hoho. Takpe lah bang. Saya amik yang ni je"
Aku bayar harga 2 buah buku yang sedia ada kat tangan.


Tak sampai hati pulak nak beli. Takde jodoh kot hari ini. Takpa la.
Kumpul duit sebulan 15 ringgit boleh dah nak beli tahun depan kalau nak sangat.

Orang lain boleh je kumpul duit dari kecik untuk beli cincin.
Takkan kita tak boleh..hehe.

p/s- makin besar nikmat kita dapat, makin besar tanggungjawab kita pada masyarakat..


Tetamu senja- A Samad Said





Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja
Bila cukup detik kembalilah
Kita kepadanya
Kita datang ini kosong tangan dada
Bila pulang nanti bawa dosa bawa pahala

Pada tetamu yang datang dan
Kenal jalan pulang
Bawalah bakti mesra kepada
Tuhan kepada Insan
Pada tetamu yang datang
Dan lupa jalan pulang
Usahlah derhaka pula
Pada Tuhan kepada insan

Bila kita lihat manusia lupa tempat
Atau segera sesat puja darjat
Puja pangkat
Segera kita insaf kita ini punya kiblat
Segera kita ingat kita ini punya tekad

Bila kita lihat manusia terbiar larat
Hingga mesti merempat ke laut biru
Ke kuning darat
Harus kita lekas sedar penuh pada tugas
Harus kita tegas sembah
Seluruh rasa belas

Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat
Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat


..Tiap-tiap umat mempunyai ajal. Apabila telah datang ajal mereka,
maka mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaatpun
dan tidak (pula) mendahulukan(nya).

[Yunus; 49]


Kisah Hang Padia mengerat buluh



Letih bermandi peluh menggali perigi 4 hasta dalamnya, kita meredah hutan pula.

Berkira-kira untuk mencari buluh yang tebal. Bukan buluh telur, bukan juga buluh lemang kerana dua macam jenis buluh yang kita sebutkan tadi nipis sifatnya.

Arakian melihat serumpun buluh sedikit tua yang duduknya asing dari rumpunan buluh yang lain, kita tersenyum gembira. Kerana rumpun buluh yang ini istimewa sekali. Panjang dan tebal, berdiri tegak ke langit membahasakan keampuhannya.

Buluh sakti barangkali.

Selesai saja solat zuhur tatkala gelincirnya mentari, kita keratkan buluh-buluh 'sakti' tadi menjadi ukuran yang sama panjang.

Mujur tiada Puteri Buluh Betung duduk menginap berteduh di situ. Jikalau tidak, jenuh pula kita hendak menjawab bila ditanya orang kampung. Pergi seorang, balik berdua.

Diikat, lalu dipundakkan ke tubuh. Deras kita berjalan pulang bertongkatkan tulang kaki, femur dan tibia yang besar.

"Apa kerja Hang Padia itu mengerat buluh ketika Syawal begini. Alangkah baik jika dikerat sebelum takbir raya, boleh juga kita membuat lemang atau menghias kampung seperti di Batu Pahat. Kerana di sana rakyatnya suka berpesta pelita pada malam 7 likur."

Bisik-bisik orang kampung tidak kita pedulikan. Entah mengapa bisiknya menjadi sungguh kuat sampai terdengar oleh kita. Ah, persetankan.

Buluh-buluh tadi kemudiannya kita bersihkan luar dan dalamnya. Kita ambil sabut kelapa, lalu diselitkan pada pelepah salak yang panjang. Terus digosok-gosok bahagian dalam buluh.

Kalau di zaman kalian, umpama memberus botol susu gamaknya.

Selesai menggosok kita pukul batang buluh tersebut hingga habis keluar miang-miangnya, putih bertebaran ke udara. Kemudian buluh-buluh tadi disusun membentuk 6 batang saliran yang panjang.

Hujung setiap dari yang satunya kita himpunkan pada perigi yang digali tadi. Hujung yang satu lagi pula kita halakan pada 6 anak sungai dari bukit yang berbeza.

Saliran yang pertama pada anak sungai yang bernama Ain, yang kedua Anf, yang ketiga Famm, yang keempat Uzn, yang kelima Yadd dan yang keenam Qadm.

Begitulah nama anak-anak sungai yang mungkin asing bunyinya di kalangan rakyat setempat. Tiada pula mampu disebut dengan baik oleh mereka. Bahkan dimelayukan pula seabad kemudian. Melayu berdaulat mereka bilang.

Akhirnya perigi kita penuh dengan air dari tujuh bukit ini.

Bersih dan segar, boleh dibuat bersuci.



Alahai.
Melihatkan saliran dan perigi ini membuatkan kita teringat pula akan pesan ulama tasawwuf.

6 saliran buluh yang tadi seumpama anggota tubuh kita yakni mata, hidung, telinga, mulut, tangan dan kaki yang berhubung terus dengan perigi yang disyibbih sebagai hati.

Anggota-anggota tersebut ibarat pintu kepada hati. Andai saja kita leka hingga membiarkan hal maksiat menceroboh masuk melaluinya, pasti sang hati akan menjadi gelap dan kita menjadi buta dalam membezakan yang haq dan yang batil.

Pintu yang sangat sensitif.

Kalau hanya satu saja anak sungai yang tercemar, perigi tersebut tetap menjadi keruh binasa. Walaupun 5 saliran buluh yang berbaki mengalirkan anak sungai yang putih jernih kan..

Hati-hatilah dengan hati.
Wallahu taala a'lam.