Tiada musibah paling besar melainkan..



Kadang-kadang Allah bagi kita ujian.
Rasa sedih sangat bila musibah tu besar.
Nafas jadi sempit, pandangan mata jadi kelabu.

Berat.

Berat sangat, rasa tak mampu nak pikul sendiri..


Suka kita babadkan di sini akan sebuah kisah di antara Saidatina Fatimah binti Rasulullah dengan ayahandanya tercinta, Saidina Khatimul anbiya' Muhammad bin Abdullah.

Suatu hari datang Saidatina Fatimah dengan berjalan dan cara jalannya mirip seperti jalannya Nabi sollallhu 'alaihi wasallam. Kemudian baginda nabi bersabda, "Selamat datang wahai puteriku."

Baginda nabi mempersilakan Saidatina Fatimah duduk di samping kanan atau kiri beliau, lalu membicarakan suatu perbicaraan secara rahsia.

Saidatina Fatimah menangis mendengarkannya.

Kemudian baginda kembali membicarakan suatu perbicaraan secara rahsia dengan Saidatina Fatimah. Anehnya, kali ini Az-Zahra tertawa. Ummul mu'minin Saidatina 'Aisyah yang melihat kejadian tersebut menjadi hairan. "Aku belum pernah melihat keadaan seseorang menangis lalu diiringi tertawa seperti hari ini."

Seraya bertanya tentang apa yang telah dikatakan oleh baginda nabi. Maka Saidatina Fatimah membalas, "Aku tidak akan mahu menceritakan pembicaraan rahsia Rasulullah saw hingga Nabi sollallahu 'alaihi wasallam wafat."

Selepas kewafatan baginda nabi, Saidatina 'Aisyah bertanyakan kembali kepada Saidatina Fatimah akan soalan yang sama. Maka Az-Zahra kemudiannya menjawab,

"Beliau bercerita kepadaku bahawasanya Jibril 'alaihissalam datang membacakan Al-Quran satu kali dalam satu tahun. Lalu dia (Jibril) membacakan kepadaku dua kali untuk tahun ini dan aku tidak melihatnya melainkan sebagai isyarat bahawa ajalku sudah tiba dan sesungguhnya kamu (Fatimah) adalah orang yang pertama yang akan menyusuliku di antara ahli baitku.

Maka aku menangis kerananya.

Lalu beliau bersabda lagi, 'Apakah kamu redha akan menjadi penghulu para wanita syurga atau penghulu para wanita mu'minin?'

Maka aku menjadi tertawa kerananya."

Tiadalah yang diucapkan Sayidul Mursalin melainkan kebenaran. Adapun enam bulan selepas kewafatan baginda nabi di bumi bercahaya Madinah al-Munawarah, Saidatina Fatimah menyusul mengikuti ayahanda yang dikasihi.

Sesungguhnya mengetahui perkara ghaib itu satu daripada tanda-tanda kenabian, dan menjadi indah cantik akan dunia dengan kehadiran Al-Mustofa. Pemergian ini merupakan musibah dan ditangisi semua kerana kecintaan yang amat mendalam buat baginda rasul.

Musibah yang pastinya tiada tertanggung oleh dunia dan seisinya.

Wallahu ta'ala a'lam.


Ulama sufi bilang, bila diuji maknanya kita dalam nazrah pandangan Allah.
Moga-moga kita lepas ujian itu dengan baik
dan Allah naikkan darjat kita di sisi-Nya.

Tiada musibah yang lebih besar bagi seorang muslim
melainkan kewafatan Nabi Muhammad

Maka bila dapat ujian, ingatlah Rasulullah :)