Malam di sini sejuk sekali. Bebeza dengan siangnya. Maklum, kawasan gurun memang begini. (klik lawatan sambil belajar ke Bahriya)
Kami baring jauh dari unggun api kerana ia telah dijajah sekumpulan manusia yang sekejap tadi bermain anak-anak raja. Biarkan, nanti bila mereka sudah masuk tidur kami ke sana pula.
Lama mereka di situ. Entah apa yang di bualkan. Kadang-kadang menyusup masuk ke gegendang telinga kita. Aih, bukan sengaja mahu mendengar. Tetapi sudah adat di tanah lapang gurun ini, berbisik seperti menjerit.
Kalau disediakan sebakul daun sirih segar, nescaya akan habis dikunyah bersama sekacip inang hingga ke fajar. Bertambah seronok berbual kerana enak. Bak kata orang 'kelat jatuh ke rengkung, seri naik ke peroman'.
Terlihat pula sepasang mata bercahaya. Dari sepasang yang tadi kemudian bertambah jumlahnya. Oh, musang gurun. Teringat pesanan ammu Arab, hati-hati dengan musang di sini, kerana mereka gemar mencuri sepatu.
Lihat sepatu sendiri. Tidak mengapa, mungkin selamat. Kerana musang-musang ini akan memilih yang berjenama tentunya.
“Tak payah tidurlah, rugi kita datang jauh-jauh tidur pula.”
Cadang seorang sahabat yang kemudiannya berdengkur dahulu dari yang lain.
Sahabat lain yang masih berjaga hanya berborak kecil. Aku melihat ke langit. Cantik sekali. Langit dihiasi bintang-bintang bercahaya. Tiada ditemui di kota Kaherah. Mungkin kerana langitnya sudah dicemari.
Dengan kamera digital, aku rakam gambar tersebut. Tapi hampa, kerana imej dirakam tidak seperti yang dilihat oleh mata. Sungguh, mata ciptaan Allah ini lebih hebat dari kamera buatan manusia.
Bintang diciptakan dengan fungsi tertentu. Ia menjadi penghias langit, menjadi panduan bagi para musafir.
Teringat pada satu ayat Al-Quran yang pernah kita pelajari. Bintang menjadi pelempar kepada syaitan. Kerana itu, syaitan tidak akan pernah mengetahui rahsia langit, sekarang.
Setiap sesuatu yang diciptakan ada kegunaannya. Tidak pernah sia-sia.
Antara fakta menarik yang suka kita kongsikan adalah berkaitan dengan plankton. Plankton bukan setakat menjadi makanan hidupan laut seperti yang dipelajari dalam Kajian Tempatan ketika di madrasah ibtidaii.
Malah, ia mempunyai medicolegal importance dari sisi forensiknya. Kewujudan plankton dalam aliran darah dan organ dalaman adalah diagnostik untuk LEMAS.
Juga digunakan untuk menentukan masa submersion dalam air, sama ada ante-mortem atau post-mortem.
Hebat makhluk yang sangat minute ini.
Banyak lagi penemuan bakal diperoleh melalui jalan menuntut ilmu dan mengembara. Jadikan bintang dan plankton sebagai misalan yang baik.
Sekian sampai sini. Perlu studi untuk exam mengejut yang sudah diketahui waktunya :)
Wallahu a’lam.
abang hazwan yang dikasihi,
suka post ni,
den minat ngan bintang2 ni..
haha, dah bace dulu pasal bintang kat blog hg.
selamat exam.chill!
ya suka juga tengok langit yang luas.. bagai tidak tergambar di luar sana, nun jauh di sana terbentang makhluk2 ciptaanNya yang tidak terjangkau dek tangan dan mata :)
hebatnya makhluk, berganda-gandalah lagi hebatnya al-Khaliq yang menciptakannya.
kan.